Ketua Panitia Sejarah sekolah itu, Rosmini Ahmad berkata, program Coffee Break ini bertujuan merangsang tenaga dan minda calon SPM untuk bersedia dari segi mental, fizikal dan emosi sebelum menduduki kertas peperiksaan seterusnya.
“Selain menjana keluasan idea dan minda pelajar untuk menjawab soalan kemahiran berfikir aras tinggi, program minum kopi masa rehat ini diharap membantu mengatasi rasa mengantuk ketika menjawab soalan peperiksaan,” katanya.
Menurut beliau, meminum kopi pada kadar yang betul iaitu satu hingga tiga cawan sehari boleh meningkatkan kemahiran kognitif pelajar dan membantu mereka mudah mengingati fakta-fakta yang dipelajari.
“Dalam erti kata yang mudah, memori jangka pendek pelajar bertambah baik, ini berdasarkan penyelidikan di California, Amerika Syarikat yang menjalankan ujian memori jangka pendek kepada individu.
“Kesimpulan yang diperoleh adalah kafein dalam kopi dapat menghalang pembentukan plak beta-amyloid dalam otak sekali gus menjadikan otak berfungsi dengan lebih baik,” jelasnya.
Pihak sekolah, katanya, berharap menerusi program Coffee Break ini dapat membantu merangsangkan minda pelajar dan seterusnya me­ningkatkan prestasi keputusan SPM pada tahun ini.