SHAH ALAM - Tiga novel edisi terhad menanti pengunjung dan penggemar novel pada Jualan Gudang Karangkraf Akhir Tahun 2015.
Pengurus Jualan Operasi Grup Buku, Roziana Omar berkata, tiga novel tersebut ialah Anak-anak Abah, Langit Cinta dan Sunan Cinta Nan Sakti.
“Untuk novel Anak-anak Abah dan Langit Cinta sudah mula dijual, manakala untuk Sunan Cinta Nan Sakti akan mula menemui pengunjung pada 6 Oktober ini.
“Setiap judul buku ini dicetak sebanyak 2, 000 cetakan sahaja,” katanya, semalam.
Menurutnya, pengunjung yang terlepas untuk mendapatkan novel tersebut pada jualan gudang ini perlu menunggu selama sebulan sebelum ketiga-tiga novel itu mula menjengah pasaran.
“Anak-anak Abah dan Langit Cinta dijual pada harga RM25 dan Sunan Cinta Nan Suci RM30.
“Ketiga-tiga novel itu juga akan diberi diskaun sehingga 20 peratus pada jualan gudang ini,” katanya.
Novel Anak-anak Abah adalah karya daripada Nazali Noor, Langit Cinta karya Damya Hanna dan Sunan Cinta Nan Suci adalah buah tangan terbaharu daripada Ramlee Awang Murshid.
Apa yang lebih menarik, katanya, novel Langit Cinta juga turut telah diadaptasikan dalam bentuk filem yang akan ditayangkan pada tahun hadapan.
“Filem itu garapan daripada pengarah Osman Ali yang terkenal menerusi filem Ombak Rindu, dan mempertaruhkan artis seperti Keith Foo, Fazura, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Datuk Jalaluddin Hasan, Farid Kamil dan Siti Saleha.
“Pengunjung jualan gudang akan dapat membaca kisah Langit Cinta itu lebih awal sebelum pergi ke pawagam untuk menghayatinya pula dalam bentuk filem,” katanya.
Karangkraf terus dibanjiri pengunjung
Sementara itu, Pengurus Besar Penjenamaan dan Komunikasi Karangkraf, RJ Shahfaizal Khairudin berkata, jualan gudang yang masuk hari kelima semalam tetap menerima pengunjung yang tidak putus-putus datang seawal jam 9 pagi.
Beliau berkata, kehadiran ramai pengunjung amat luar biasa berbanding penganjuran pada tahun sebelumnya.
“Tawaran menarik seperti sebuah novel berharga RM3, diskaun dan pelbagai lagi produk lain seperti al-Quran jelas berjaya menarik minat pengunjung.
“Kekuatan kami  sudah semestinya pelbagai judul buku, majalah dan novel yang ditawarkan pada harga yang menarik,” katanya.
Beliau berkata, ibu bapa turut membawa anak-anak mereka bagi mendapatkan buku dan ia adalah permulaan yang baik bagi memupuk minat membaca sejak kecil.
“Di jualan gudang ini juga, pelbagai pilihan produk bacaan kepada kanak-kanak disediakan dan ibu bapa pasti tidak akan menyesal untuk hadir ke sini,” katanya.
Menurutnya, jualan gudang itu turut menerima kunjungan murid-murid sekolah di kawasan sekitar yang turut hadir memeriahkan jualan tersebut.
Dalam pada itu, katanya, pengunjung juga berkesempatan beramah mesra dengan novelis terkemuka dari Buku Prima, Alaf 21 serta Karya Bestari.
“Peminat-peminat novel sudah semestinya tidak mahu melepaskan kesempatan ini dan bersemuka secara depan dengan penulis novel yang mereka minati.
“Jadi jangan lepaskan peluang untuk hadir ke jualan gudang Karangkraf yang hanya tinggal beberapa hari lagi,” katanya.
Jualan Gudang Akhir Tahun 2015 bermula dari 30 Oktober sehingga 8 November dan dibuka bermula jam 9 pagi hingga jam 7 petang pada setiap hari.